Select Page

Taman Negara adalah hutan hujan tropika tertua di dunia yang kaya dengan pelbagai khazanah fauna yang menakjubkan dan tidak dapat dilihat di kawasan bandar. Ia menjadi lokasi yang sering dikunjungi oleh pencinta alam semula jadi dan juga yang gemarkan aktiviti-aktiviti yang mencabar.

Tahukah anda, di sini terdapat beberapa jenis haiwan liar yang mendiami kawasan hutan di Taman Negara ini? Walaupun begitu, haiwan-haiwan ini tidaklah mudah untuk ditemui di sini. Sekiranya anda terserempak dengan haiwan liar ini, sememangnya itulah rezeki bonus untuk anda.

Antara 3 jenis haiwan liar yang tinggal di Taman Negara adalah:-

 

1. Kerbau

Jika anda menyeberangi sungai dengan menaiki bot atau menyusuri jeram, anda mungkin akan terlihat sekawan kerbau liar sedang berendam di dalam air. Berendam di dalam air yang dalam adalah rutin kebiasaan mereka untuk menyejukkan badan. Kerbau ini mempunyai susuk tubuh yang tegap, berkulit gelap, wajah yang panjang, dan tanduk mereka tumbuh sama ada ke atas atau pun ke bawah. Anda perlu berhati-hati agar tidak menghampiri mereka kerana gangguan dari kehadiran manusia mungkin akan membuat mereka menjadi agresif atas dasar ingin melindungi diri mereka.

 

2. Burung Merak Pongsu

Juga dikenali sebagai burung Kuang Pongsu. Saiznya sederhana dan mempunyai ekor yang pendek di mana ia mempunyai 22 lembar bulu. Burung merak pongsu ini juga mempunyai mata seakan-akan warna zamrud yang berkilau. Bulu sayapnya berwarna keperang-perangan bersama bintik-bintik hitam, serta jambulnya panjang berwarna hijau zamrud. Mukanya botak tiada bulu dan berwarna merah. Burung jenis ini telah disenaraikan sebagai spesies terancam didlam senarai IUCN.

 

3. Burung Enggang

Anda dapat menemui pelbagai jenis burung enggang yang berlegar dan terbang di sekitar Taman Negara terutamanya di kawasan Kuala Tahan dan Kuala Terenggan. Lokasi yang sesuai untuk melihat burung yang mempunyai perlbagai warna bersama paruh yang besar, terbang ke sana ke mari dari pohon ke pohon adalah di Kuala Tahan. Burung enggang ini membina sarangnya di pohon-pohon yang besar. Maka kerana aktiviti penghutanan yang berleluasa di Malaysia, bilangan burung enggang kini semakin berkurangan. Syukur kita mempunya Taman Negara yang terpelihara dan dilindungi dari aktiviti rakus manusia. Di antara tujuh spesies burung enggang, anda mungkin akan mudah menjumpai Burung Enggang Papan dan Burung Enggang Badak.