Select Page

Latihan membentuk pasukan boleh membantu memupuk kemahiran komunikasi dalam kalangan ahli pasukan. Ia juga dapat membina kemahiran bekerjasama yang sangat baik.

Alam semula jadi boleh menjadi ruang pelbagai fungsi untuk melakukan aktiviti team building. Ia juga menyediakan suasana yang berbeza dari pejabat dan santai untuk ahli kumpulan saling berinteraksi serta untuk mengenali satu sama lain. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di dalam persekitaran alam semula jadi yang tidak boleh didapati di bandar.

Taman Negara Pahang adalah lokasi yang bagaikan pakej semua dalam satu. Ia mempunyai kehijauan, bersama kembara dan aktiviti yang memerlukan kerjasama ahli kumpulan, disamping kemudahan yang disediakan bagi mengoptimumkan lagi pengalaman team building anda.

Antara aktiviti di Taman Negara yang membina team building yang efektif adalah seperti:-

 

1. Ekspedisi hutan (jungle trekking) di Bukit Teresek dan Titian Kanopi

Dalam aktiviti ini, anda berpeluang membuat perancangan dan pembahagian tugas bagi memasang khemah, menghidupkan api, menyediakan makanan dan memanfaatkan sumber alam semula jadi.

 

2. Ekspedisi mendaki Gunung Tahan

 

Membentuk pasukan bagaikan mendaki sebuah gunung. Puncak gunung adalah misi yang ingin dicapai. Perjalanan sepanjang pendakian adalah proses yang perlu dilalui oleh semua ahli pasukan. Adalah sangat penting untuk semua ahli jelas akan misi dan jangkaan yang ingin dicapai bersama. Sepanjang proses, ahli harus saling membantu bagi mencapai puncak (misi) bersama dengan selamat. Dalam proses ini juga akan melibatkan peranan yang berbeza dari setiap ahli seperti mengurus pasukan, membawa peralatan khas, membawa peta atau GPS, menjaga masa, dan sebagainya.

 

3. River rafting di Taman Negara Kuala Tahan

 

Keistimewaan aktiviti ini adalah peserta harus bekerjasama untuk menempuh cabaran dari air sungai yang  deras dan melalui celah-celah batu yang besar. Aktiviti ini sangat menyeronokkan kerana di sini anda dapat belajar mengawal keseimbangan bot, disamping menjaga keselamatan satu sama lain demi memastikan bot tidak terbalik dan sampai ke destinasi dengan jayanya.

 

Bak kata pepatah Melayu, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Pasukan yang kuat dan efektif adalah pasukan yang saling memahami dan saling membantu tanpa rasa penting diri demi mencapai misi dan visi yang sama.